PORT DICKSON, 7 Okt (Bernama) -- Tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson memasuki minggu kedua dengan kejutan pengumuman Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad akan turun padang berkempen bersama calon parti berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Justeru, Anwar, 71, begitu teruja dengan kedatangan Perdana Menteri ketujuh itu dan akan dijadualkan berkongsi pentas berucap pada Isnin malam selepas 20 tahun. "Kalau beliau hadir inilah kali pertama saya kembali satu pentas dan kita akan gegarkan Port Dickson setelah 20 tahun," katanya semasa berucap pada majlis minum petang bersama komuniti nelayan di Kampung Telok Kemang di sini semalam. Anwar, dengan reputasi sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Umum PKR, dilihat mempunyai kelebihan, dengan jentera parti yang diketuai Pengarah Pilihan Raya PH Aminuddin Harun bertungkus lumus menyusun program antara tujuh hingga 10 program sehari bermula dari pagi sehingga tengah malam. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1650696